Ikan Kelah Merah Bertukar Warna Kebiru-biruan.


Terima kasih kepada para pengunjung blog ikan kelah kami. 

Apa yang anda akan baca di bawah ini merupakan satu fakta yang mungkin mengelirukan bagi anda.. Bagaimana ikan kelah merah yang diperolehi dari satu sungai yang sama (gua musang Kelantan) boleh bertukar warna menjadi biru. Semasa saya mengambil ikan-ikan kelah tersebut di kampung orang asli, memang kesemua ikan kelah berkenaan berwarna merah pada sirip, ekor dan sisiknya. Ikan kelah yang ditangkap oleh orang asli terdiri daripada pelbagai saiz, namun kebanyakkannya bersaiz 4”.





Ikan kelah merah gua musang ini mula dibekalkan oleh orang asli kepada saya bagi menampung perbelanjaan harian mereka seawal 2012 lagi. Ikan kelah merah ini di bawa ke tempat pemeliharaan ikan kelah saya dan mula mendapat perhatian peminat tegar ikan kelah. Di tempat pemeliharaan ikan kelah saya, ikan-ikan kelah merah yang baru tiba dibela dalam tong Polyethylene (HDPE) berwarna biru. Dari sebulan ke sebulan, warna merah pada badan ikan kelah merah mula bertukar menjadi warna putih. Selang masa yang berlalu, menyebabkan warna ikan kelah merah ini mula bertukar lagi, dari putih kepada kehitaman.

Para pengunjung yang datang kadangkala mempertikai kejujuran saya dalam keaslian ikan kelah. Ada yang mengatakan ikan kelah yang diwar-warkan adalah ikan tengas. Namun, apabila ikan ‘tengas’ itu ditanguk dan dipertunjukkan akan ‘median lobe’nya, mereka mengangguk terdiam. Bagi pengunjung yang tahu membezakan ikan kelah dan ikan kejar, mereka akan perasan akan kehadiran 3 ekor kejar bersaiz 7” - 9” (not-for-sale) yang sengaja saya letakkan bersama ikan-ikan kelah untuk menguji kebolehupayaan mengenalpasti kelah dan bukan kelah para pengunjung. 3 ekor kejar itu masih ada hingga ke hari ini (18.02.2015).




Hujung tahun 2014, banjir besar yang melanda Kelantan telah menyebabkan bekalan elektrik dipotong buat seketika. Generator di tempat pemeliharaan ikan kelah saya telah kehabisan petrol disebabkan hubungan jalan raya yang terputus. Ini memaksa ikan-ikan kelah merah dalam tong HDPE dikeluarkan dan disimpan dalam akuarium kaca. Dari situlah, baru diamati bahawa warna kehitaman yang dilihat adalah berwarna biru, bukan putih atau ‘hitam cerah’. Salah seekor ikan kelah ‘biru’ ini ditempatkan bersama ikan kelah merah di dalam kolah simen bagi melihat (ujikaji) adakah warnanya akan berubah kepada warna asal (merah) apabila didedahkan kepada pendedahan cahaya matahari secara terbuka.

Dengan kehadiran ‘kelah biru’ di tempat saya, para peminat kelah tidak akan dapat memiliki ikan ‘kelah biru’ Kelantan ini kerana ia adalah kelah merah, bukan kelah biru. Namun, dengan penceritaan saya ini, jangan pula anda menuduh kelah biru yang dijual oleh orang lain bukan kelah biru ~ sama seperti kes / pengalaman saya. Dan, jangan pula ada penternak kelah merah menggunakan tong HDPE biru untuk menukarkan warna kelah merah kepada biru. Sememangnya umum mengetahui bahawa kelah biru ketika ini mengatasi kelah merah dari segi harganya…

Dari pemerhatian saya minggu pertama bulan februari 2015 ini, warna kebiruan pada ikan kelah ini telah pudar dan mula kembali menjadi putih. Sekarang ikan kelah ‘biru’ itu telah ditempatkan di dalam kolah simen dan bergaul bebas bersama-sama anak kelah merah sungai jeli tanpa sebarang masalah.

Kesimpulan & akhir kata, perubahan warna pada ikan kelah merah ini tidaklah hairan bagi saya kerana mata saya sendiri pernah melihat ikan kelah merah hidup bertukar dari warna putih kepada merah dalam masa tidak sampai 5 minit di kubang kerian Kelantan (rumah salah seorang peniaga kelah Kelantan). Ikan kelah merah itu pada mulanya kelihatan putih (seperti warna ikan tengas), namun beransur-ansur berubah warna apabila ikan kelah tersebut dikeluarkan dari tempat teduh dan di’jemur’ di bawah panas terik cahaya matahari. Bahkan saya pasti, warna kebiruan pada kelah merah ini akan kembali pulih kepada warna asalnya, iaitu warna merah apabila ditempatkan di kawasan yang menerima cahaya matahari, disamping diberi makan pallet khas untuk menimbulkan lagi warna asal kelah merah ini. Saya mengjangkakan bahawa, bulan mei ini ikan ‘kelah biru’ saya ini akan kembali kepada warnanya yang asal, warna merah. Sekian, Allahhualam..