Editing: 01.12.2018
Terima kasih kepada para pengunjung blog ikan kelah kami...
Ikan kelah sudah pastinya tidak asing bagi pencita ikan, apatahlagi jika warna sisiknya kelihatan merah-kemerahan dengan gaya renangnya yang perlahan-lahan. Spesies Tor Tambroides adalah yang paling diminati oleh penggemar kelah kerana ia adalah 'kelah' sebenar yang menjadi kebangaan biodiversiti negara. Berbeza dengan tengas, kejar dan daun, kelah merah serta kelah bara adalah dari spesies yang sama. Namun tone warna membezakan keduanya. Dari segi fizikal, kelah bara (Sungai Tembat, Trengganu) pada asasnya memiliki tubuh yang kurus dan panjang. Bagi kelah merah pula, badannya agak bulat. Spesies Tor Tambroides memiliki 'tanda' pada bibir bawahnya yang kelihatan seperti bonjolan isi, iaitu 'median lobe'. Bonjolan ini menjadi aras penanda kepada spesies kelah asli Malaya, yang pastinya membezakannya dengan ikan kejar yang hampir sama akan kelah merah atau kelah bara.
Bagi mereka yang baru berjinak menternak ikan kelah ini, perlu diketahui bahawa ikan kelah merah Kelantan mempunyai bentuk badan yang kurus memanjang, dengan warna sisik dan siripnya merah-kemerahan. Namun, faktor pemakanan yang diberikan akan menentukan bentuk badan ikan kelah ini apabila besar nanti, termasuk warnanya. Pemberian pallet yang berprotein tinggi secara konsisten akan menghasilkan ikan kelah yang kelihatan gemuk, panjang dan warna merah-kemerahan yang cantik pada badannya. Pada kebiasaannya, warna kemerah-merahan pada sisik dan sirip akan kelihatan seawal usia 5 hingga 6 bulan, atau pada saiz 3” ke atas.
Pemberian makanan seperti buah-buahan yang telah masak dan sayur-sayuran juga boleh membantu ikan kelah hidup dengan baik seperti keadaan semulajadinya. Pemberian buah betik masak yang dihiris kecil, buah kelapa sawit masak (yang diperam atau fresh), buah ara masak, kangkung, ubi kayu rebus dan sebagainya bolehlah diberikan sebagai makanan tambahan kepada ikan kelah. Namun hendaklah dipastikan buah-buahan yang diberikan tidak tercemar dengan racun buah atau racun serangga, kerana akibatnya adalah amat buruk.
Selain faktor makanan yang diberikan kepada ikan kelah merah, faktor air dan tempat ikan kelah dibela akan menentukan pembentukan warna yang akan muncul pada sisik dan siripnya. Ikan kelah pada asasnya gemarkan pada tempat yang mempunyai air yang mengalir laju. Namun, ia bukanlah senantiasa gemar berenang di aliran air yang laju. Pada waktu malam, ikan kelah akan mencari tempat aliran air yang perlahan atau aliran air yang tidak bergerak untuk tidur. Ya, ikan kelah juga seperti makhluk yang lain yang memerlukan tidur pada waktu malam. Oleh sebab yang demikianlah, pemburu ikan kelah akan mencari ikan kelah di waktu malam secara berhati-hati dan dalam keadaan senyap untuk menanguk ikan kelah yang sedang tidur, terutamanya yang bersaiz 3” ke bawah, dengan mudah.
Walaupun ikan kelah gemarkan pada aliran air yang laju, ia boleh hidup dengan baik di dalam kolah simen terbuka yang tidak mempunyai aliran air, atau di dalam takungan air yang tidak bergak (statik). Namun hendaklah dipastikan bekalan oksigen terlarut di dalam air mencukupi untuk mengurangkan stress kepada ikan kelah. Ramai di kalangan penternak ikan kelah mewujudkan air terjun tiruan di dalam kolah atau kolam tiruan sebagai kaedah memberi oksigen kepada ikan-ikan di dalam kolam tersebut. Kolam hiasan yang terdapat air terjun tiruan boleh mengurangkan stress kepada ikan kelah kerana aliran airnya hampir sama kepada keadaan semulajadi tempat tinggal ikan kelah.
Bagi mereka yang memelihara ikan kelah di dalam akuarium, terdapat 2 kaedah untuk membekalkan oksigen di dalam air. Kaedah pertama adalah melalui pam akuarium yang akan mengalirkan air laju yang akan menghasilkan gelembung-gelembung udara di dalam air. Gelembung udara ini akan menghasilkan oksigen terlarut di dalam air dengan baik. Kaedah kedua adalah menggunakan pam oksigen yang akan menghasilkan gelembung-gelembung udara secara berterusan. Kedua-dua kaedah ini boleh diberikan secara serentak kepada ikan kelah yang dipelihara di dalam akuarium.
Ikan kelah seperti yang diketahui, hidup liar di dalam sungai yang bersih di kawasan hulu sungai yang tidak terganggu dengan aktiviti-aktiviti manusia. Namun ikan kelah juga boleh hidup dengan baik di dalam hampir semua air tawar tanpa sebarang masalah. Ikan kelah yang dibela di tempat pemeliharaan kami dibela dalam 4 tempat yang berbeza, iaitu di dalam kolah simen, di dalam tong Polyethylene (HDPE) berwarna biru atau tong khusus untuk menternak ikan, kolam tanah dan di dalam akuarium. Terdapat ikan kelah yang dibela sejak dari tahun 2010 di dalam tong Polyethylene (HDPE) telah membesar dengan baik yang kini telah mencapai saiz 15 kaki. Ikan kelah tersebut dibela dari saiz 3” dan membesar sempurna dengan gemuk dan sisik yang kelihatan menawan. Sekiranya anda datang ke tempat pemeliharaan ikan kelah kami, anda jangan terkejut jika lihat ikan kelah merah hidup dengan baik di dalam air yang telah bertukar menjadi hijau. Begitu juga ikan kelah boleh hidup sekiranya terdapat banyak mendapan di dasar kolah tanpa sebarang masalah. Ikan kelah ini tidak mengalami sebarang masalah adalah disebabkan tiada sebarang parasit, kuman atau lain-lain gangguan yang boleh memudaratkan kesihatannya, walaupun pada zahirnya keadaan air kelihatan ‘kotor’ dan tidak jernih atau bersih.
Bagi mereka yang baru berjinak dalam memelihara ikan kelah, ikan kelah boleh hidup dengan baik pada hampir kesemua jenis air tawar. Air kolam, air paip (dinyah-klorin), air tandak bukit, air borin atau telaga tiub bawah tanah dan air perigi sesuai untuk digunakan bagi menternak kelah. Namun demikian, hendaklah dipastikan sumber air ini tidak mengandungi parasit dan mikro organisma berbahaya. Air paip yang dinyah klorin adalah yang paling baik kerana air yang diperolehi itu sememangnya bebas kuman. Air kolam pula agak berisiko dengan parasit yang boleh menyebabkan ikan kelah dijangkiti penyakit.
Di tempat pemeliharaan ikan kelah kami di Salor, kami menggunakan 2 punca air untuk memelihara ikan kelah, iaitu air borin atau telaga tiub dan air kolam (sawah padi). Air kolam boleh diguna secara terus sekiranya anda mengetahui sumber berkenaan bebas daripada kekotoran ikan lain yang hidup di dalam kolam takungan tersebut. Sekiranya terdapat ikan lain di dalam kolam, kemungkinan sumber tersebut akan bermasalah dengan parasit yang akhirnya boleh menjangkiti ikan kelah. Bagi air dari telaga tiub pula, air yang disedut hendaklah dirawat dahulu sebelum boleh digunakan. Bagi air telaga tiub yang ‘berbau karat’ atau air akan menjadi warna merah apabila disimpan di dalam bekas atau tangki air, ‘karat’ yang terhasil perlulah ditapis terlebih dahulu (dengan menggunakan penapis air) sebelum air berkenaan boleh disalurkan ke dalam kolah simen atau akuarium ikan kelah.
Adalah diharapkan dengan sedikit sebanyak maklumat di atas, para pencinta kelah mendapat sedikit perkongsian ilmu dari kami. Para pengunjung boleh mengunjungi tempat pemeliharaan ikan kelah kami bagi melihat sendiri keadaan ikan kelah untuk kepastian. Anda juga berpeluang untuk melihat ikan daun, ikan tengas, ikan kejor yang dibela di tempat kami. Ikan-ikan berkenaan sering kali disalah anggap sebagai ikan kelah, bahkan terdapat pembeli tertipu disebabkan tidak boleh membezakan antara ikan kelah sebenar dengan ikan-ikna yang mirip ikan kelah. Sekian…..